Friday, May 30, 2014

Kisah Benar 3: Sunyi Di Tepi Jalan

Sekitar pertengahan 1980an, saya memandu bersama keluarga balik ke kampung dari Shah Alam melalui jalan Bentong Lipis. Jalan masih sempit. Masa itu saya masih belum tahu sangat sekitarnya dan berapa jarak dari satu bandar ke bandar seterusnya. Maklumlah, mana ada hand phone, mana ada Internet. Sahlah tak ada Waze atau Google. 

Selepas Kuala Lipis, anak-anak berasa lapar. Kami ada membawa bekal jadi tidak risau untuk mencari kedai makan. Memang masa itu kedai makan hanya ada berhampiran bandar sahaja. Saya dan isteri menjengok-jengok ke hadapan mencari tempat lapang untuk berhenti. Waktu sekitar 4.00 petang, masih siang.

Sampai ke satu tempat, kami nampak sebuah rumah lama. Kawasan berumput agak lapang sekitarnya. Bersih. Rumah tidak ada penghuni. "Kat sinilah kita berhenti makan kejap", kata isteri saya. Tanpa mengangguk, saya terus memutar stering dan parking kereta dekat pokok. Anak-anak turun. Saya agak hairan, macam mana boleh ada tempat lapang dan bersih jauh dari tempat orang ni. Rumah pula tidak berpenghuni. Saya agak ia adalah surau. Saya tidak tanya isteri atau anak-anak. Anak-anak biasa la. Payah nak turun sebab letih. Isteri saya mengangkat makanan dan saya angkat tikar yang kami bawa bersama. Tikar dihampar, makanan dihidang, kami makan.

Sedang kami makan, seorang anak saya berkata, "Abah, itu bukan kubur ke?" Darah saya menyirap sekejap. "Apa yang aku buat? Ish." Hati saya berdetik. Ada ke pulak singgah makan di kubur! 

Isteri saya menoleh kepada saya, semacam nak cakap sesuatu. "Ala, itu kubur lama. Makan je la". Saya cover line. Anak-anak memang saya tidak ajar supaya takut ke kubur, tapi tak tahu lah kalau mereka ada dengar cerita daripada kawan-kawan mereka. 

Saya makan cepat-cepat. Dah tak terasa lapar. "Jom, makan cepat, nanti lewat". Saya cover line lagi. Hati tetiba jadi tidak tenteram. Mata saya menoleh ke arah rumah usang (sekarang sudah tidak ada, diruntuhkan), mencari-cari kalau-kalau ada apa-apa. 

Selesai makan, kami cepat-cepat naik kereta. Saya hidupkan injin dan terus tidak mahu menoleh lagi. 

Beberapa tahun kemudian, bila saya mula berulang alik KL-PP, kawan-kawan sering tanya, "eh tak takut ke, kan jalan itu sunyi, gelap?" Saya kata "tak ada apa-apa". Kemudian beberapa kali juga bila saya jawab seperti itu, ada kawan yang bertanya "tidak jumpa apa-apa ke dekat rumah tepi kubur tu? Banyak orang cerita........" Fuh! Terus menyirap darah saya. "Tak pernah pun". Saya jawab, cover line lagi. 

Sejak mula ditanya oleh rakan, setiap kali ikut jalan itu saya akan menoleh mencari rumah usang tersebut. Seram, takut, tapi nak tengok 'berdepan' supaya 'dia' tak datang dari belakang. Bukan berani, cuma bersedia, dalam doa supaya tidak ada apa-apa yang datang.

No comments: