Friday, February 03, 2017

AKAR PASAK NUSA


Sabah dan Tanah Melayu
Kita asalnya satu
Antara dua pasak nusa
Tahan dan Kinabalu
Subur merimbun serumpun


Sejarah telah terpahat
Kita pembuat kapal terhebat
Kita dulu laksamana di lautan
Kita dulu penakluk segala kepulauan
Kublai Khan pun tewas di Nusantara

Sehingga hadir penjajah
Memfitnah mencerai memecah
Kini kita tidak kenal saudara
Walau patah katanya serupa
Walau nasinya sama

Musim mencabar getir
Rasa digodam fitnah baru
Fikrah dirasuk cerita palsu
Demi memutus tali yang sudah tipis
Melebur terus keagongan bangsa
Menyambung hasrat penjajah durjana
Yang mahu hanya mereka memerintah dunia

Sahabatku
Bangunlah
Berdirilah atas dua kakimu
Genggamlah bara harapan
Tepis setiap hembusan fitnah dan
Tentang semua tenggang durhaka
Demi kesinambungan akar pasak nusa ini

Perjuangan Sharif Osman
Kewajaan tekad Ontoros Antanom dan 
Pengorbanan Tun Datu Mustapha
Menjadi nadi pembela watan
Meski dibadai petaka lapan penjuru
Meski dilambung ombak lima lautan
Selagi terbit fajar di kaki Kinabalu
Dan mentari maghrib di Puncak Tahan
Tidakkan berpecah rumpun Melayu

Selagi iman berkiblatkan Makkah
Selagi akar bangsa bertaut di Pentas Sunda
Tidakkan berpisah Sabah dari Tanah Melayu



Bin Shaffi
Cyberjaya

1 Februari 2017

Friday, December 16, 2016

MENANTI TALUT

Ke mana pun aku menghala
Dengus kesal bingit menyala
Di mana pun aku berpijak
Mendam kecewa rata membajak

Ummat ini sudah hilang seri
Wahan pula menyelubungi
Merangkum imam dan bilal
Ramai lupa apa erti ikhlas

Pada siapa harapan dipasak
Mengingat nasib nafas menyesak
Pengikut dibuli pemimpin digasak
Semua bengang bingung diasak

Panglima deen hilang punca
Tentera berkecai macam kaca
Tiada saf mengikat bata
Sama hina binatang melata




Binshaffi
Lapangan Terbang King Abdul Aziz
Jeddah
8 Nov 2016

Saturday, October 29, 2016

Rindu

Ah!
Rindu itu hanya seloka rasa
Menyebak dada tika mata gagal menjamah

Thursday, October 27, 2016

TANAH RANAH BERTUAH



Dulu
Seluruh tanah ranah ini milik kita
Pun hanya
Tinggal setengah sesaat merdeka
Itupun kerana ada wasiat raja-raja
Memagar hak mempertahan maruah

Kini di manapun tanah ranah ini dipijak
Nama Melayu payah timbul di paparan
Ke manapun kita pusing mencari kedai
Nama Melayu susah diintai
Ke manapun kita dongak
Nama Melayu hampir tiada di puncak

Anak Melayu payah mengais rezeki di bumi bertuah
Anak Melayu mengemis kerja di laman manja
Anak Melayu merempat dikeji kerana bahasanya Bahasa Melayu
Anak Melayu di kerling benci kerana bertudung ayu
Anak Melayu diperlekeh kerana melafaz iman kepada Yang Satu
Melayu diketawa kerana menolak bacon dan ham
Melayu dihina kerana membenci bir dan rum

Yang memperlekeh itu adalah Melayu
Kerana berasa iman bukan penyelamat
Yang ketawa itupun Melayu
Kerana berasa modern bila makanannya berbau Barat
Yang menghina itupun Melayu
Yang berasa hebat bila minum sampai bingung kiblat

Tidak lain dan tidak bukan
Melayu yang memperlekeh
Melayu yang ketawa
Melayu yang menghina
Adalah Melayu lupa daratan
Lupus jatidiri dan tipis iman
Merekalah antara reranting dan sampah sarap
Yang terapung bersama buih
Dihanyut banjir selut
Lemah tanpa maya
Hancur berkecai tenggelam
Di pusaran wahan

Bangkitlah bangsaku dari mimpi siangmu
Laut yang membanjir dan gunung yang menghimpit
Kering simpati dan kontang belas
Kepada mereka yang mendengkur kesiangan

Bulan tidak pernah berjanji kepada pungguk
Mentari tidak menanti mimpimu berakhir
Hanya burung awal dapat melazati
Rezeki hidangan Tuhanmu Yang Maha Pemurah
Hanya bangsa yang berani
Bisa mewarisi bumi bertuah.



Binshaffie
Dalam Penerbangan
Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu
6.46ptg, 27 Oktober 2016

Wednesday, July 27, 2016

Cili vs Cef

Kalau kamu cili, jangan lawan tukang masak.

- FS

Monday, December 28, 2015

Matematik formulanya bertingkat-tingkat. Politik formulanya berliku-liku.
- fs

Tuesday, June 09, 2015

Perjuangan

1. Perjuangan itu perjalanannya jauh, tidak nampak tempat tibanya pada mata fizikal.
2. Perjalanan dalam perjuangan itu berliku, banyak dugaan dalam diri dan luar diri, nampak dan tidak nampak
3. Ada golongan lain yang sedang berlumba dengan kita, kadang-kadang mereka mendampingi kita tanpa merobah apa dalam hati mereka
4. Kita ramai dan pelbagai. Susah berjalan ditambah dengan tugas mengendong rakan yang cedera fizikal, dan lebih parah ialah mengendong rakan yang cedera hati.
5. Tidak ada jaminan kita akan sampai ke destinasi. Namun hati harus dilambung supaya terlebih dahulu tiba.