Friday, May 30, 2014

Kisah Benar 3: Sunyi Di Tepi Jalan

Sekitar pertengahan 1980an, saya memandu bersama keluarga balik ke kampung dari Shah Alam melalui jalan Bentong Lipis. Jalan masih sempit. Masa itu saya masih belum tahu sangat sekitarnya dan berapa jarak dari satu bandar ke bandar seterusnya. Maklumlah, mana ada hand phone, mana ada Internet. Sahlah tak ada Waze atau Google. 

Selepas Kuala Lipis, anak-anak berasa lapar. Kami ada membawa bekal jadi tidak risau untuk mencari kedai makan. Memang masa itu kedai makan hanya ada berhampiran bandar sahaja. Saya dan isteri menjengok-jengok ke hadapan mencari tempat lapang untuk berhenti. Waktu sekitar 4.00 petang, masih siang.

Sampai ke satu tempat, kami nampak sebuah rumah lama. Kawasan berumput agak lapang sekitarnya. Bersih. Rumah tidak ada penghuni. "Kat sinilah kita berhenti makan kejap", kata isteri saya. Tanpa mengangguk, saya terus memutar stering dan parking kereta dekat pokok. Anak-anak turun. Saya agak hairan, macam mana boleh ada tempat lapang dan bersih jauh dari tempat orang ni. Rumah pula tidak berpenghuni. Saya agak ia adalah surau. Saya tidak tanya isteri atau anak-anak. Anak-anak biasa la. Payah nak turun sebab letih. Isteri saya mengangkat makanan dan saya angkat tikar yang kami bawa bersama. Tikar dihampar, makanan dihidang, kami makan.

Sedang kami makan, seorang anak saya berkata, "Abah, itu bukan kubur ke?" Darah saya menyirap sekejap. "Apa yang aku buat? Ish." Hati saya berdetik. Ada ke pulak singgah makan di kubur! 

Isteri saya menoleh kepada saya, semacam nak cakap sesuatu. "Ala, itu kubur lama. Makan je la". Saya cover line. Anak-anak memang saya tidak ajar supaya takut ke kubur, tapi tak tahu lah kalau mereka ada dengar cerita daripada kawan-kawan mereka. 

Saya makan cepat-cepat. Dah tak terasa lapar. "Jom, makan cepat, nanti lewat". Saya cover line lagi. Hati tetiba jadi tidak tenteram. Mata saya menoleh ke arah rumah usang (sekarang sudah tidak ada, diruntuhkan), mencari-cari kalau-kalau ada apa-apa. 

Selesai makan, kami cepat-cepat naik kereta. Saya hidupkan injin dan terus tidak mahu menoleh lagi. 

Beberapa tahun kemudian, bila saya mula berulang alik KL-PP, kawan-kawan sering tanya, "eh tak takut ke, kan jalan itu sunyi, gelap?" Saya kata "tak ada apa-apa". Kemudian beberapa kali juga bila saya jawab seperti itu, ada kawan yang bertanya "tidak jumpa apa-apa ke dekat rumah tepi kubur tu? Banyak orang cerita........" Fuh! Terus menyirap darah saya. "Tak pernah pun". Saya jawab, cover line lagi. 

Sejak mula ditanya oleh rakan, setiap kali ikut jalan itu saya akan menoleh mencari rumah usang tersebut. Seram, takut, tapi nak tengok 'berdepan' supaya 'dia' tak datang dari belakang. Bukan berani, cuma bersedia, dalam doa supaya tidak ada apa-apa yang datang.

Kisah Benar 2: Menolong ada hadnya

Sekitar 1992. Saya, isteri, arwah ayah dan ibu saya dalam perjalanan balik dari Kuala Lumpur ke Kelantan. Kami bertolak awal malam. Dalam perjalanan selepas Bentong, hujan turun sekali sekala dan ada kalanya agak lebat. Hari sudah malam, gelap, tiada lampu jalan kecuali berhampiran bandar. Sampai ke tempat lebih kurang 20 km dari Kuala Lipis, kami nampak ada sebuah kereta di dalam parit, warna biru, kelihatan macam kemalangan baru terjadi, tetapi tidak ada orang. Kami teruskan perjalanan hingga ke stesen Petronas di simpang ke Kuala Lipis. Elok juga saya ingatkan kepada pembaca, jalan yang ada sekarang adalah jalan baru dan stesen Petronas berada di simpang jalan lama.

Kami berhenti untuk menambah minyak dan berihat kerana agak stres memandu dalam hujan pada waktu malam. Selepas memasukkan minyak dan membayarnya, saya ternampak seorang lelaki Cina berdiri, basah kuyup dan kesejukan. Nampak menggigil. Saya bertanya, dan seperti yang saya agak, dia adalah pemandu kereta yang kemalangan dalam perjalanan tadi. Saya simpati dan tanya ke mana dia hendak pergi. Dia beritahu dia mahu ke simpang Felda Kechau. Kami bersetuju untuk menumpangkan beliau kerana kami akan melalui jalan tersebut. Untuk maklumat pembaca juga, pada waktu itu, stesen Petronas di simpang Felda Kechau masih belum ada.

Hujan masih mencurah. Bila sampai di simpang tersebut, dia minta saya hantar ke dalam sedikit. Saya tanya berapa jauh ke dalam dan beliau menjawab lebih kurang dua kilometer. Saya enggan, tetapi kasihan, kerana tidak ada orang di simpang tersebut. Saya tidak biasa dengan jalan Felda tersebut, apa lagi waktu malam, sekitar pukul 2.00 pagi, dan hujan masih mencurah. Bagaimana pun dia sudah nampak agak hilang sejuk bila bersama kami dalam kereta untuk beberapa ketika itu. Saya tanya ayah dan ibu, mereka juga keberatan untuk masuk. Takut. Saya kemudian berkata, tidak elok kami tinggalkan beliau disimpang tanpa manusia ditengah malam. Saya tengok odometer dan baca nombornya dalam hati.

Maka saya pandu kereta masuk ke dalam simpang. Keadaan gelap, hujan masih turun. Saya pandu perlahan. Saya kurang pasti sama ada jalan itu sudah bertar atau belum pada waktu itu. Selepas lebih kurang dua kilometer, saya tanya beliau, di mana saya nak tinggalkan dia, dengan ringkas dia jawab dihadapan sedikit lagi. Kemudian saya tanya beberapa kali lagi di mana tempat secara tepat, dia asyik jawab 'didepan sikit lagi'. Itulah yang berlaku sehingga meter menunjukkan perjalanan dari simpang sudah menjangkau lebih lima kilomater. Nasib baik saya telah bersedia dari awal dengan membaca meter sebelum masuk ke dalam simpang tadi.

Saya berasa marah, bercampur takut. Bermacam perkara menyerang minda saya. Siapakah dia sebenarnya? Kenapa dia asyik berbohong? Adakah saya membahayakan diri dan keluarga?

Bila saya ternampak satu bangsal di sebelah kanan, saya terus berhenti. Saya minta dia turun, dia enggan, katanya tidak ada orang. Saya angkat suara, "tadi awak kata dua kilometer, sekarang sudah lima kilometer. Kenapa tidak cakap benar?" Dia tidak jawab, tapi enggan bergerak. Arwah ayah nampak kaget, dan minta saya berlembut. Isteri dan ibu saya diam. Saya berkeras minta dia turun, atau saya tarik dia keluar. Terasa macam kejam, tetapi rasa takut lebih menguasai. Rasa tertipu turut menyelubungi. Hujan belum reda. Malam gelap gelita. Jam menunjukkan sekitar 2.30 pagi.

Setelah lebih kurang 5 hingga 10 minit, akhirnya beliau turun. Hati rasa berat, kasihan membungkus hati, takut menyelubungi perasaan. Saya kata kepada arwah ayah, "dia boleh berteduh di situ. Masa sudah hampir cerah. Saya tidak mahu keluarga menghadapi masalah. Tidak ada manusia berhampiran kita masa ini, dan ini adalah kawasan yang tidak ramai manusia lalu. Kita juga tidak kenal dia. Kita tidak tahu kemana dia ingin bawa kita. Kita sudah berusaha menolong, tetapi dia tipu kita. Saya benci penipu."

Saya pusing kereta dan memecut dalam kelam berhujan dipermukaan jalan licin. Rasa sedikit lega walau bercampur rasa bersalah. Ibu dan isteri saya turut berkata lega, baru boleh bersuara. Saya berdoa semoga dia selamat dan berjumpa dengan manusia lain yang boleh membantunya.

Kami meneruskan perjalanan ke Kelantan. Alhamdulillah kami selamat.

Kisah Benar 1: Perlu faham peranan ikon dalam pemasaran

Tahun 2000, sebuah syarikat besar ingin melancarkan produk terbarunya. Pelancaran tersebut melibatkan siaran langsung di TV. Syarikat tersebut masih lagi dalam keadaan tidak berapa segar kerana baru lepas mengharungi keadaan kewangan negara yang melumpuhkan. Pengurusan syarikat tersebut juga membuat keputusan menjemput seorang penyanyi terkenal untuk menyampaikan sebuah lagu sempena pelancaran tersebut.

Pekerja syarikat yang mendapat tahu perkara tersebut menjadi marah. Mereka baharu sahaja diberitahu dengan berita yang amat pahit. Pekerja syarikat berkemungkinan besar tidak akan diberi bonus kali ini kerana syarikat sedang melalui masalah, malah negara keseluruhannya mengalami masalah. Pekerja menjadi semakin kecewa dan marah. Beberapa produk syarikat dirosakkan. Syarikat semakin menghadapi cabaran kerugian. Dalam satu majlis, sewaktu makan, seorang eksekutif senior memberitahu saya bahawa syarikat membayar sebanyak RM33,000 kepada penyanyi tersebut. Beliau turut menunjukkan mimik muka dan bahasa badan tidak puas hati.

Saya kata kepada beliau, apa kata dia ambil RM33,000 itu, pergi ke serata negara, cari seramai 33,000 orang, tawarkan kepada mereka RM1 jika mereka sanggup duduk dihadapan TV selama 1 jam sewaktu tayangan program pelancaran produk syarikatnya. Katakan, anda tidak perlu hiraukan dengan kos mencari 33,000 orang itu dan masa yang digunakan.

Friday, May 16, 2014

Idealisme

Idealisme kekadang menjadikan idealis terpenjara dalam kekakuan kerana kebejatan pengamal yang fokus kepada jalan rentas. - FS 

Wednesday, May 14, 2014

Belajar daripada yang betul

Bila belajar daripada kesilapan, kita akan ulangi kesilapan itu.
Belajarlah daripada yang betul. - FS