Friday, December 16, 2016

MENANTI TALUT

Ke mana pun aku menghala
Dengus kesal bingit menyala
Di mana pun aku berpijak
Mendam kecewa rata membajak

Ummat ini sudah hilang seri
Wahan pula menyelubungi
Merangkum imam dan bilal
Ramai lupa apa erti ikhlas

Pada siapa harapan dipasak
Mengingat nasib nafas menyesak
Pengikut dibuli pemimpin digasak
Semua bengang bingung diasak

Panglima deen hilang punca
Tentera berkecai macam kaca
Tiada saf mengikat bata
Sama hina binatang melata




Binshaffi
Lapangan Terbang King Abdul Aziz
Jeddah
8 Nov 2016

Saturday, October 29, 2016

Rindu

Ah!
Rindu itu hanya seloka rasa
Menyebak dada tika mata gagal menjamah

Thursday, October 27, 2016

TANAH RANAH BERTUAH



Dulu
Seluruh tanah ranah ini milik kita
Pun hanya
Tinggal setengah sesaat merdeka
Itupun kerana ada wasiat raja-raja
Memagar hak mempertahan maruah

Kini di manapun tanah ranah ini dipijak
Nama Melayu payah timbul di paparan
Ke manapun kita pusing mencari kedai
Nama Melayu susah diintai
Ke manapun kita dongak
Nama Melayu hampir tiada di puncak

Anak Melayu payah mengais rezeki di bumi bertuah
Anak Melayu mengemis kerja di laman manja
Anak Melayu merempat dikeji kerana bahasanya Bahasa Melayu
Anak Melayu di kerling benci kerana bertudung ayu
Anak Melayu diperlekeh kerana melafaz iman kepada Yang Satu
Melayu diketawa kerana menolak bacon dan ham
Melayu dihina kerana membenci bir dan rum

Yang memperlekeh itu adalah Melayu
Kerana berasa iman bukan penyelamat
Yang ketawa itupun Melayu
Kerana berasa modern bila makanannya berbau Barat
Yang menghina itupun Melayu
Yang berasa hebat bila minum sampai bingung kiblat

Tidak lain dan tidak bukan
Melayu yang memperlekeh
Melayu yang ketawa
Melayu yang menghina
Adalah Melayu lupa daratan
Lupus jatidiri dan tipis iman
Merekalah antara reranting dan sampah sarap
Yang terapung bersama buih
Dihanyut banjir selut
Lemah tanpa maya
Hancur berkecai tenggelam
Di pusaran wahan

Bangkitlah bangsaku dari mimpi siangmu
Laut yang membanjir dan gunung yang menghimpit
Kering simpati dan kontang belas
Kepada mereka yang mendengkur kesiangan

Bulan tidak pernah berjanji kepada pungguk
Mentari tidak menanti mimpimu berakhir
Hanya burung awal dapat melazati
Rezeki hidangan Tuhanmu Yang Maha Pemurah
Hanya bangsa yang berani
Bisa mewarisi bumi bertuah.



Binshaffie
Dalam Penerbangan
Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu
6.46ptg, 27 Oktober 2016

Wednesday, July 27, 2016

Cili vs Cef

Kalau kamu cili, jangan lawan tukang masak.

- FS