Friday, May 30, 2014

Kisah Benar 2: Menolong ada hadnya

Sekitar 1992. Saya, isteri, arwah ayah dan ibu saya dalam perjalanan balik dari Kuala Lumpur ke Kelantan. Kami bertolak awal malam. Dalam perjalanan selepas Bentong, hujan turun sekali sekala dan ada kalanya agak lebat. Hari sudah malam, gelap, tiada lampu jalan kecuali berhampiran bandar. Sampai ke tempat lebih kurang 20 km dari Kuala Lipis, kami nampak ada sebuah kereta di dalam parit, warna biru, kelihatan macam kemalangan baru terjadi, tetapi tidak ada orang. Kami teruskan perjalanan hingga ke stesen Petronas di simpang ke Kuala Lipis. Elok juga saya ingatkan kepada pembaca, jalan yang ada sekarang adalah jalan baru dan stesen Petronas berada di simpang jalan lama.

Kami berhenti untuk menambah minyak dan berihat kerana agak stres memandu dalam hujan pada waktu malam. Selepas memasukkan minyak dan membayarnya, saya ternampak seorang lelaki Cina berdiri, basah kuyup dan kesejukan. Nampak menggigil. Saya bertanya, dan seperti yang saya agak, dia adalah pemandu kereta yang kemalangan dalam perjalanan tadi. Saya simpati dan tanya ke mana dia hendak pergi. Dia beritahu dia mahu ke simpang Felda Kechau. Kami bersetuju untuk menumpangkan beliau kerana kami akan melalui jalan tersebut. Untuk maklumat pembaca juga, pada waktu itu, stesen Petronas di simpang Felda Kechau masih belum ada.

Hujan masih mencurah. Bila sampai di simpang tersebut, dia minta saya hantar ke dalam sedikit. Saya tanya berapa jauh ke dalam dan beliau menjawab lebih kurang dua kilometer. Saya enggan, tetapi kasihan, kerana tidak ada orang di simpang tersebut. Saya tidak biasa dengan jalan Felda tersebut, apa lagi waktu malam, sekitar pukul 2.00 pagi, dan hujan masih mencurah. Bagaimana pun dia sudah nampak agak hilang sejuk bila bersama kami dalam kereta untuk beberapa ketika itu. Saya tanya ayah dan ibu, mereka juga keberatan untuk masuk. Takut. Saya kemudian berkata, tidak elok kami tinggalkan beliau disimpang tanpa manusia ditengah malam. Saya tengok odometer dan baca nombornya dalam hati.

Maka saya pandu kereta masuk ke dalam simpang. Keadaan gelap, hujan masih turun. Saya pandu perlahan. Saya kurang pasti sama ada jalan itu sudah bertar atau belum pada waktu itu. Selepas lebih kurang dua kilometer, saya tanya beliau, di mana saya nak tinggalkan dia, dengan ringkas dia jawab dihadapan sedikit lagi. Kemudian saya tanya beberapa kali lagi di mana tempat secara tepat, dia asyik jawab 'didepan sikit lagi'. Itulah yang berlaku sehingga meter menunjukkan perjalanan dari simpang sudah menjangkau lebih lima kilomater. Nasib baik saya telah bersedia dari awal dengan membaca meter sebelum masuk ke dalam simpang tadi.

Saya berasa marah, bercampur takut. Bermacam perkara menyerang minda saya. Siapakah dia sebenarnya? Kenapa dia asyik berbohong? Adakah saya membahayakan diri dan keluarga?

Bila saya ternampak satu bangsal di sebelah kanan, saya terus berhenti. Saya minta dia turun, dia enggan, katanya tidak ada orang. Saya angkat suara, "tadi awak kata dua kilometer, sekarang sudah lima kilometer. Kenapa tidak cakap benar?" Dia tidak jawab, tapi enggan bergerak. Arwah ayah nampak kaget, dan minta saya berlembut. Isteri dan ibu saya diam. Saya berkeras minta dia turun, atau saya tarik dia keluar. Terasa macam kejam, tetapi rasa takut lebih menguasai. Rasa tertipu turut menyelubungi. Hujan belum reda. Malam gelap gelita. Jam menunjukkan sekitar 2.30 pagi.

Setelah lebih kurang 5 hingga 10 minit, akhirnya beliau turun. Hati rasa berat, kasihan membungkus hati, takut menyelubungi perasaan. Saya kata kepada arwah ayah, "dia boleh berteduh di situ. Masa sudah hampir cerah. Saya tidak mahu keluarga menghadapi masalah. Tidak ada manusia berhampiran kita masa ini, dan ini adalah kawasan yang tidak ramai manusia lalu. Kita juga tidak kenal dia. Kita tidak tahu kemana dia ingin bawa kita. Kita sudah berusaha menolong, tetapi dia tipu kita. Saya benci penipu."

Saya pusing kereta dan memecut dalam kelam berhujan dipermukaan jalan licin. Rasa sedikit lega walau bercampur rasa bersalah. Ibu dan isteri saya turut berkata lega, baru boleh bersuara. Saya berdoa semoga dia selamat dan berjumpa dengan manusia lain yang boleh membantunya.

Kami meneruskan perjalanan ke Kelantan. Alhamdulillah kami selamat.

No comments: