Friday, February 03, 2017

AKAR PASAK NUSA


Sabah dan Tanah Melayu
Kita asalnya satu
Antara dua pasak nusa
Tahan dan Kinabalu
Subur merimbun serumpun


Sejarah telah terpahat
Kita pembuat kapal terhebat
Kita dulu laksamana di lautan
Kita dulu penakluk segala kepulauan
Kublai Khan pun tewas di Nusantara

Sehingga hadir penjajah
Memfitnah mencerai memecah
Kini kita tidak kenal saudara
Walau patah katanya serupa
Walau nasinya sama

Musim mencabar getir
Rasa digodam fitnah baru
Fikrah dirasuk cerita palsu
Demi memutus tali yang sudah tipis
Melebur terus keagongan bangsa
Menyambung hasrat penjajah durjana
Yang mahu hanya mereka memerintah dunia

Sahabatku
Bangunlah
Berdirilah atas dua kakimu
Genggamlah bara harapan
Tepis setiap hembusan fitnah dan
Tentang semua tenggang durhaka
Demi kesinambungan akar pasak nusa ini

Perjuangan Sharif Osman
Kewajaan tekad Ontoros Antanom dan 
Pengorbanan Tun Datu Mustapha
Menjadi nadi pembela watan
Meski dibadai petaka lapan penjuru
Meski dilambung ombak lima lautan
Selagi terbit fajar di kaki Kinabalu
Dan mentari maghrib di Puncak Tahan
Tidakkan berpecah rumpun Melayu

Selagi iman berkiblatkan Makkah
Selagi akar bangsa bertaut di Pentas Sunda
Tidakkan berpisah Sabah dari Tanah Melayu



Bin Shaffi
Cyberjaya

1 Februari 2017