Friday, December 31, 2021

BENCANA


Rakyat hadapi bencana
Bencana bawa kemudaratan
Kemudaratan diringi kesusahan
Kesusahan lahirkan kebencian
Kebencian cetuskan kemarahan
Kemarahan membakar jiwa
Jiwa yang terbakar
Pada luka yang tersimbah cuka
Mempalit derita
Pilihan
Mengeluh atau mengadu
Didengari atau di pekaki
Dipangkah atau ditolak
Esok
Bencana datang lagi
Janji
Esok buat lagi
Rakyat
Nanti percaya lagi
Namun
Siapa
Sebenarnya peduli


Bin Shaffie
Shah Alam
31 Dis 2021

Sunday, November 11, 2018

JANGAN MAU DIBAKAR

Jangan mau dibakar sejarah
Yang telah membina negara
Aman sejak merdeka
Jangan mau dibakar hati ini
Yang sering diguris pedih
Dek ketamakan dan kedengkian
Jangan mau dibakar rasa ini
Yang kasih pada semua
Tanpa mengira agama bangsa dan darjat
Bersopanlah mengatur lidah
Agar tidak melebur saling percaya
Yang telah ditanam sekian lama
Usah berkepala batu
Memetik mancis membakar sumbu
Kemarahan para wira yang terhina


Bin Shaffi
Shah Alam
11 Nov 2018

Wednesday, October 17, 2018

JANJI TINGGAL JANJI



100 hari sudah berlalu
Pakatan Harapan menang P R U
10 janji 100 hari menjadi laku
Rakyat yang mengundi rupanya tertipu
Janji tinggal janji


Kini mereka bermadah lagi
Manifesto bukan janji
Bukan juga kitab suci
Tak apa lah kalau kalau tak sudi
Asal Najib dan BN sudah dibuli
Tercapai hasrat ambil negeri
Hak rakyat ah apa peduli
Janji tinggal janji

Marah konon cepat melalak
Malam kahwin mana boleh esok dapat anak?
BR1M dikutuk bagai dedak
Hasut penduduk supaya tolak
Selepas menang U-turn terdesak
Tukar kulit BR1M jadi BSHR untuk yang sesak
Janji tinggal janji

Rakyat diracun dengan nista
Janjinya perompak mahu disita
Rakyat hendak dibela
Tapi rupanya hanya dusta
Beg diusung jam diseka
Pujuk rakyat supaya leka
Janji tinggal janji

Masa kempen nak bina minda
Anak sekolah masa depan negara
Mesti diajar pandai bicara
Zaman demokrasi bebas berkata
Mahasiswa demo disakat sapa
Ke Balai Polis dijemput segera
Janji tinggal janji

Lepas menang ubah strategi
Kasut putih tak guna lagi
Kasut hitam jadi pengganti
Rupanya mudah jadi menteri
Ubah minda bermula dari kaki
Janji tinggal janji

Mana KWSP suri rumah?
Janji tinggal janji
Kenapa harga minyak tidak turun?
Janji tinggal janji
Mana royalti minyak 20%?
Janji tinggal janji

10 janji 100 hari
Hanya dalih yang diberi
Tak habis-habis kencing berlari
Habis hancing penyokong sendiri
Tuduh BN tak habis-habis lagi
Tutup dungu mungkir berkali-kali
Janji tinggal janji

Dulu janji harga minyak turun
Tapi hari ini tak turun-turun
Marah GST barang naik tak turun
Kosong GST pun harga tetap tidak turun
Angkara tauke tamak mencerun
Nanti SST lambung menderun
Tak apa, kita tunggu depa turun
Biar rakyat turut balun
Kerana manifesto PH dok pulun
Janji tinggal janji


BIN SHAFFI
Shah Alam
31 JULAI 2018

ANAK MUDA PAPUA BANGKIT



Dua hari aku di bumi cenderawasih
Kekaguman menguasai perasaanku
Merasai jiwa anak-anak muda
Petah dalam kata
Berbahasa dalam berbudi
Berbudi dalam berbahasa

Papua bumi kaya
Dengan anak-anak muda 
Berjiwa maju membina
Bukan bangkit memberontak gila
Tapi 
Membangun tanah cenderawasih 
Warisan moyang berjasa
Anugerah Tuhan Maha Perkasa

Nurani halus aku
Menggetus bicara alam
Anak-anak muda ini
Harus dibimbing 
Bersama demi membina 
Dunia sejahtera


Bin Shaffi
Jayapura, Papua
8 September 2018

WIRA TANAH AIR



Hapuskan airmatamu Dik
Perjuangan semakin sukar
Bala pemimpin yang sombong dan lupa daratan
Maka jangan kau ikut langkah itu

Bangunlah
Kita teruskan perjuangan 
Dengan sedikit baki bekal yang juga akan direnggut
Sebaik mereka menghempas punggung ke kerusi kuasa

Setiap detik berlalu
Peluang bagi mereka meratah
Setiap inci tanah pusaka
Yang mereka intai sejak mula berpijak
Ke tanah bertuah ini


Bin Shaffi
Dhuha, 11 Mei 2018
Merang, Terengganu

KELANGSUNGAN PERJUANGAN



Hari ini kita singgah sebentar
Menghela nafas di lereng gelanggang
Menyapu pepasir di bajuan
Mengutip semangat kejatuhan

Kita masih mendaki
Menapak menuju puncak
Jauh meredah belantara
Kala-kala menyusup taufan
Tika-tika menyelak gelora

Namun tiada calar tekad kita
Dek hanya satu ketewasan
Kerana kemenangan itu 
Sebenarnya sebuah perjuangan 
Yang tiada nokhtah
Sebelum ajal

Hanya yang tulen dan jati bisa disusun
Mengerti dan menghayati budi
Luhurnya perjuangan



Bin Shaffie
Shah Alam
29 Jun 2018

KITA BANGSA BESAR

Kita bangsa besar
Ayuh kita kutip
Puing-puing berserakan
Kita susun bersama
Pantang melutut
Merangkak megemis belas
Allah tidak ubah nasib kita
Sebelum kita bertindak

Ayuh bangkit! Saudaraku
Menggantung cita memetik impian
Berganding melangkah sederap
Melaung kesaksian
UMNO terus mara

Aku bayangkan dalam visi
Suatu hari bila aku bangun
Ku lihat anak muda mengatur
Kemudi negara makmur Malaysia
Tanah air pusaka keramat
Sehingga tatkala esok aku pergi
Dengan tenang dalam aman
Tanah pusaka ini tetap
Milik bangsa besar ini

Ayuh pemuda!
Mari pemudi!
Bersama kita genggam bara
Api perjuangan bangsa
Sampai menjadi abu.



Bin Shaffie
Shah Alam
29 Jun 2018

KEMBALI BANGKIT




Sebenarnya
Aku tidak tenang
Bila bangsaku berpecah
Menjadi lemah lalu diperintah orang

9 Mei itu
Halilintar membelah langit Melayu
Walau siang cerah
Nasib Melayu berubah gelap gulita
60 tahun dipersada kuasa
Kita hanyut lupa daratan
Kesatuan Melayu menentang Malayan Union
Roboh dalam lumba kefanaan dunia 
Terpana dalam alpa

Ayuh 
Bangkit kembali
Jangan biarkan mereka injak-injak
Kaki-kaki kita yang belunjur keletihan
Ayuh kita bingkas melangkah 
Kembali gagah di medan

Jangan biarkan mereka ramas-ramas
Tangan-tangan kita yang terjuntai kekosongan
Ayuh kita genggam
Kembali menghayun ke langit impian
Tujuan kita tidak berubah
Matlamat kita tetap sama

Sesiapapun boleh kemudi bahtera
Namun nakhoda jua penentu halatujunya
Di saat utuhnya kesatuan
Baru layak dianugerah kemenangan


Bin Shaffie
Shah Alam
29 Jun 2018

Saturday, August 26, 2017

PUNGGUK MERDEKA

Pagi tadi mentari terbit jua
Menambah dekad ulang seru 
Jeritan keramat iring merdeka
Bulan bertitah pungguk merindu

Kita bersama menugal huma
Membelai aman menjemput sejahtera
Membina tamaddun 
Menyusun makmur

Asyik kita menjaga sempadan
Luncai tega mendulang bumi
Mulut penuh kantong kembong
Tanah ranah di langkah ratah
Pungguk leka setia 
Mengkagumi indahnya bulan berhias
Berlenggang angkasa
Dengan mata bulat terbuka 
Namun gagal menjamah realiti siang
Walau kaki mencengkam dahan 

Luncai terjun dengan labu-labu
Sarat emas intan segala
Ketawa berdekah sinis berbisa
Kita masih keasyikan 
Bersengketa
Sesama kita
Bertarung kata
Membelah taulan mencerai kasih
Menoleh remeh terjunnya Luncai
Berdikir korus 
Biarkan biarkan

Meski 
Bulan tidak pernah berwasiat kepada pungguk
Dahan tempat hinggap itu milik pungguk selamanya
Pungguk pula tidak harus terusan merindu 
Bulan yang hanya berenang 
Pada falak takdirnya tanpa daya  
Memilih haluan sendiri

Tenggak enam dasawarsa kita bebas
Mari kita hitung semula
Langkah
Perjalanan kian suntuk 
Menyelamat misi merdeka
Perjuangan merentas 446 tahun 
Ditebus dengan air mata darah nyawa

Tiada ertinya mencinta watan 
Tanpa kuasa memerintah negeri
Tiada ertinya laungan kedaulatan
Tanpa tanah diinjak kaki




Binshaffi
23 Ogos 2017
Cyberjaya

Friday, February 03, 2017

AKAR PASAK NUSA


Sabah dan Tanah Melayu
Kita asalnya satu
Antara dua pasak nusa
Tahan dan Kinabalu
Subur merimbun serumpun


Sejarah telah terpahat
Kita pembuat kapal terhebat
Kita dulu laksamana di lautan
Kita dulu penakluk segala kepulauan
Kublai Khan pun tewas di Nusantara

Sehingga hadir penjajah
Memfitnah mencerai memecah
Kini kita tidak kenal saudara
Walau patah katanya serupa
Walau nasinya sama

Musim mencabar getir
Rasa digodam fitnah baru
Fikrah dirasuk cerita palsu
Demi memutus tali yang sudah tipis
Melebur terus keagongan bangsa
Menyambung hasrat penjajah durjana
Yang mahu hanya mereka memerintah dunia

Sahabatku
Bangunlah
Berdirilah atas dua kakimu
Genggamlah bara harapan
Tepis setiap hembusan fitnah dan
Tentang semua tenggang durhaka
Demi kesinambungan akar pasak nusa ini

Perjuangan Sharif Osman
Kewajaan tekad Ontoros Antanom dan 
Pengorbanan Tun Datu Mustapha
Menjadi nadi pembela watan
Meski dibadai petaka lapan penjuru
Meski dilambung ombak lima lautan
Selagi terbit fajar di kaki Kinabalu
Dan mentari maghrib di Puncak Tahan
Tidakkan berpecah rumpun Melayu

Selagi iman berkiblatkan Makkah
Selagi akar bangsa bertaut di Pentas Sunda
Tidakkan berpisah Sabah dari Tanah Melayu



Bin Shaffi
Cyberjaya

1 Februari 2017

Friday, December 16, 2016

MENANTI TALUT

Ke mana pun aku menghala
Dengus kesal bingit menyala
Di mana pun aku berpijak
Mendam kecewa rata membajak

Ummat ini sudah hilang seri
Wahan pula menyelubungi
Merangkum imam dan bilal
Ramai lupa apa erti ikhlas

Pada siapa harapan dipasak
Mengingat nasib nafas menyesak
Pengikut dibuli pemimpin digasak
Semua bengang bingung diasak

Panglima deen hilang punca
Tentera berkecai macam kaca
Tiada saf mengikat bata
Sama hina binatang melata




Binshaffi
Lapangan Terbang King Abdul Aziz
Jeddah
8 Nov 2016

Saturday, October 29, 2016

Rindu

Ah!
Rindu itu hanya seloka rasa
Menyebak dada tika mata gagal menjamah

Thursday, October 27, 2016

TANAH RANAH BERTUAH



Dulu
Seluruh tanah ranah ini milik kita
Pun hanya
Tinggal setengah sesaat merdeka
Itupun kerana ada wasiat raja-raja
Memagar hak mempertahan maruah

Kini di manapun tanah ranah ini dipijak
Nama Melayu payah timbul di paparan
Ke manapun kita pusing mencari kedai
Nama Melayu susah diintai
Ke manapun kita dongak
Nama Melayu hampir tiada di puncak

Anak Melayu payah mengais rezeki di bumi bertuah
Anak Melayu mengemis kerja di laman manja
Anak Melayu merempat dikeji kerana bahasanya Bahasa Melayu
Anak Melayu di kerling benci kerana bertudung ayu
Anak Melayu diperlekeh kerana melafaz iman kepada Yang Satu
Melayu diketawa kerana menolak bacon dan ham
Melayu dihina kerana membenci bir dan rum

Yang memperlekeh itu adalah Melayu
Kerana berasa iman bukan penyelamat
Yang ketawa itupun Melayu
Kerana berasa modern bila makanannya berbau Barat
Yang menghina itupun Melayu
Yang berasa hebat bila minum sampai bingung kiblat

Tidak lain dan tidak bukan
Melayu yang memperlekeh
Melayu yang ketawa
Melayu yang menghina
Adalah Melayu lupa daratan
Lupus jatidiri dan tipis iman
Merekalah antara reranting dan sampah sarap
Yang terapung bersama buih
Dihanyut banjir selut
Lemah tanpa maya
Hancur berkecai tenggelam
Di pusaran wahan

Bangkitlah bangsaku dari mimpi siangmu
Laut yang membanjir dan gunung yang menghimpit
Kering simpati dan kontang belas
Kepada mereka yang mendengkur kesiangan

Bulan tidak pernah berjanji kepada pungguk
Mentari tidak menanti mimpimu berakhir
Hanya burung awal dapat melazati
Rezeki hidangan Tuhanmu Yang Maha Pemurah
Hanya bangsa yang berani
Bisa mewarisi bumi bertuah.



Binshaffie
Dalam Penerbangan
Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu
6.46ptg, 27 Oktober 2016

Wednesday, July 27, 2016

Cili vs Cef

Kalau kamu cili, jangan lawan tukang masak.

- FS

Monday, December 28, 2015

Matematik formulanya bertingkat-tingkat. Politik formulanya berliku-liku.
- fs

Tuesday, June 09, 2015

Perjuangan

1. Perjuangan itu perjalanannya jauh, tidak nampak tempat tibanya pada mata fizikal.
2. Perjalanan dalam perjuangan itu berliku, banyak dugaan dalam diri dan luar diri, nampak dan tidak nampak
3. Ada golongan lain yang sedang berlumba dengan kita, kadang-kadang mereka mendampingi kita tanpa merobah apa dalam hati mereka
4. Kita ramai dan pelbagai. Susah berjalan ditambah dengan tugas mengendong rakan yang cedera fizikal, dan lebih parah ialah mengendong rakan yang cedera hati.
5. Tidak ada jaminan kita akan sampai ke destinasi. Namun hati harus dilambung supaya terlebih dahulu tiba.

Monday, October 20, 2014

On Marketing

"Marketing is not a specialized business activity. It is the whole enterprise seen from the customers' point of view" - Peter Drucker

Sunday, October 19, 2014

SUMPAH ADUKA BANGSA

Aduka Bangsa
Tengoklah
Bangsamu sedang lelah
Mencungap dihimpit ketakutan
Pucat menyembunyi
Debar kebimbangan
Melihat
Musuh menerkam geram
Bak helang lapar laju menjunam

Anak-anak ayam berkeliaran
Menyusup dedaun kering
Terjatuh cacing diparuh
Terkait kaki mengguling
Tanpa sempat melaung
Rakan sereban
Yang kehilangan
Jatidiri

Aduka bangsaku
Kita berkampung
Di bumi kreatif
Mengkarya nasib
Impian masa depan
Mencipta keramat
Bangsa kita

Bersama kita
Menarik nafas
Membina jurus
Menggenggam tekad
Nanti pulangmu
Berbekal azam Puncak
Berbasah keringat Pengalengan
Membuka langkah
Silat minda de Java

Kita kukuhkan semangat
Menyimpul mati sumpah
Aduka Bangsa
Bahawa
Bangsa ini akan
Kembali bangkit
Menewas musuh durjana
Menghapus penderhaka
Penkhianat bangsa

Menjulang semula
Gagahnya Melayu
Daulatnya se nusantara


Benshafi
de Java
Bandung
14 Okt 14





Nyah Liberal

Sejarah telah banyak bercerita
Berhujjah akal menjadikan ummah menderita
Yang pintar berasa gah berjaya
Yang lembab bingung tenggelam punca
Tergugat iman keliru tentang fakta
Berasa hebat namun menjurus ke neraka

Tidak usah lagi kita buang banyak masa
Melayan kerenah penghujah buta
Memberi ruang kepada pencipta bala
Merungkai silah sesama
Muslim yang kian membara
Menghancur quwwah membelai dosa

Marilah kita bersama
Fokuskan usaha bina ummah ini semula
Tumpukan taqwa pada Yang Esa
Hujjah aqal tak jauh kemana
Berkesan cuma pada yang hilang punca
Iman jua penyelamat kita.

Benshafi
Kepala Batas
Pulau Pinang
19Okt14

Friday, October 03, 2014

Keluhan

Sebutir pasir yang tidak mahu disapu di atas lantai simen menjadi keluhan agung kepada manusia yang tidak mahu memakai kasut.
-FS