Sunday, December 26, 2010

Bertautkah Kiambang di Bisikan Bayu

Abelek ajak bersajak
Saya tanya bila
Dia kata dua puluh lima
Saya kata saya tak sambut Krismas
Dia kata bukan
Cuma nak bersama
Mencari damai membuang rimas

Abelek ajak bersajak
Saya tanya di mana
Dia kata di Bisikan Bayu
Tempat dewa dewi bercandu rindu
Mencurah nurani
Mengapa bermimpi di siang hari
Melayan tetamu yang tak sedar diri
Sedang bangsa dikembiri
Di negara sendiri

Saya tidak bijak bersajak
Saya saintis yang beralih arah
Bangsa tidak betah kajian sains
Diminta mengajar bahasa
Saya lari
Lalu ajar berbicara
Tentang hidup, tentang masa
Terus terpaut bicara bangsa
Kerana bangsa ku
Nampak leka

Saya bukan penyajak
Yang bisa sinis berpuitis
Cuma pandai bertutur
Tapi bukan tekukur
Yang terus berlibur walau terkurung

Malam ini di Bisikan Bayu
Saya ingin luah rasa terbuku
Yang lama bengkak terguris
Membaca gelagat manusia berkumis
Melayu yang berjiwa gerimis

Melalui sajak Apa lah Melayu


Apa lah Melayu



Ada tanah
Jadi kuli
Ada negeri
Di gari tangan kaki
Mulut dicekup mata ditutup
Bila bicara bantu bangsa lantas digelar rasis
Tengoklah ekonomi
Siapa kendali?
Namanya saja jadi menteri
Rakyat merana dia rancak menari
Lupa balas budi yang dia janji

Apalah Melayu
Bangsa ku
Tanah mu dimamah
Kau masih megah bergaya
Harta mu diratah
Diupah jadi jaga
Kau bersiul bangga
Mencanang akulah raja
Dimanja-manja
Dengan upah komisen bernilai sesen
Berbanding kautan juta peniaga asing
Di hujung kontrak sepet
Hasil pakatan rasuah
Melayu tersepit
Yang gila mewah
Bakal nanti terkejut mimpi
Bila komisen berpindah
Ke Melayu baru


Apalah Melayu
Sesama saudara
Kau gamat berbalah
Maruah digomol
Kau menjilat bangga
Sesama saudara
Kau gagah tunjuk perkasa
Merintang jalan korban raga
Konon zalim patut diderhaka
Mencanggah budaya
Menyanjung puaka yang berseloka
Berdepan mereka kau tunjuk lata
Tangan dihulur terbuka
Salam reformasi berbaik sangka
Cawan diangkat gelas berlaga
Copstik dirai bukti bersama
Kau di jalan mereka berpesta
Bila menang janji kongsi sama

.........


Mengapalah Melayu
Lima dekad berliku
Aku masih tersiku
Dengan pejuang
Yang jadi peju-wang

Belum habis nukilan ini
Baru tulis pagi tadi
Lepas ini sambung lagi
Selagi Daulat Melayu diiringi
Cerita Melayu tetap dibari

Siapa lagi jika
Bukan kita
Yang menarikan pena
Mencatat titah
Hujung jatuh cerita Melayu kita
Mencerna misi evolusi
Minda mencanda seni


……….
(C) Abezi
Kg Changgai, Gaal, Pasir Puteh
25 Disember 2010

Tuesday, December 14, 2010

Quote of the Day

If prostitution is the oldest profession, then corruption is the oldest power broker. Thus dealing with such social illnesses should never ever be oversimplified.

- Fauzi Shaffie
- Shah Alam
-December 14, 2010

Monday, December 06, 2010

Selamat Menyambut tahun baru Hijrah

AsSalaamu 'alaikum

Selamat menyambut tahun baru Hijrah kepada semua muslimin dan muslimat. Semoga tahun mendatang membuka ruang kepada peningkatan iman dan taqwa, membawa keberkatan dalam usaha, melapangkan dada menerima tambahan ilmu bermenfaat dan memudahkan anugerah rezeki daripada Allah mengalir untuk kebajikan diri dan keluarga.

Friday, December 03, 2010

Dakwah dan kuasa

1. Seringkali bila saya mendengar khutbah Jumaat dan membaca pelbagai komen dalam pertukaran pendapat, yang kadangkala mirip kepada 'pertengkaran' dalam Facebook, saya cuba mencari sebab kenapa golongan pencinta Islam masih belum mampu membawa kemenangan kepada Islam.

2. Hari ini, sepertimana telah berlaku beberapa kali sebelumnya, minda saya dihujani rasa agar diluahkan pekara-perkara berikut untuk tatapan mereka yang prihatin dalam kancah dakwah.

3. Mungkinkah tumpuan para pendakwah kepada perkara semasa menjadikan mereka kurang beri tumpuan kepada penerapan iman dan peningkatan taqwa?

4. Dari tiori psikologi, bila perkara/idea yang sama diulang-ulang, terutama bila ianya berlaku dengan cara yang sama, atau suara dengan nada yang sama, perkara/idea itu akan menjadi sebati dengan minda separa sedar dan menjadi 'tabiat'. Jika perkara yang dibincang saban hari ialah tentang hal-hal yang boleh meningkatkan iman, maka keimanan boleh bertambah kukuh. Jika perkara politik yang dibincang saban hari, maka yang kukuh ialah kepercayaan politik itu.

5. Ramai, dan sememangnya tidak semua, pendakwah di Malaysia yang begitu rapat dengan maslahah politik tempatan, dan menjadi agenda mudah untuk berada pada peringkat tinggi dalam hirarki minda.

6. Tumpuan dakwah ialah menyeru kepada keimanan dan ketakwaan. Dakwah erti menyeru supaya datang.

7. Tumpuan politik ialah mendapatkan kekuasaan. Dalam suasana konflik yang berlaku dipentas, banyak mesej ditumpukan kepada kelemahan dan kesalahan lawan politik. Mesej dakwah banyak kali ditenggelamkan oleh mesej perebutan kuasa. Menonjol yang salah lebih banyak daripada menonjol yang benar. Kadangkala sengaja tidak menonjolkan yang benar, atau menidakkan yang benar, serta meneybunyikan salah sendiri. Ini bukan metod yang diterima untuk dakwah Islam.

8. Benar, dakwah dan politik, dalam pemahaman kini, tidak boleh dipisahkan. Namun matlamat utama akan menjadi agenda utama, dan menjadi agenda tinggi dalam minda, seterusnya dalam jelmaan sebagai tindakan individu serta kumpulan.

9. Tidak adanya istilah politik (siasah) dalam al-Qur'an dan hadis sebaiknya menjadi bahan kajian bijak pandai yang membahaskan metodologi penyampaian mesej ketuhanan, untuk menilai semula bentuk keterlibatan dalam kancah itu. Tulisan al-Mawardi sebagai antara rujukan utama keperluan melibatkan diri dalam politik harus dinilai semula dalam usaha mencari bentuk keterlibatan yang lebih hampir kepada seerah Rasulullah s.a.w.

10. Banyak kekeliruan berlaku dalam kancah pertarungan politik. Bila Yusuf alQardawi menulis sebegini, "Democracy is the simplest and proper way to achieve the aims of a noble life, to be able to invite all to Allah and Islam, to be able to call others to Iman without having our souls being imprisoned and our bodies sentenced to be executed by hanging. It is the space for a free and honourable nation to have the right to choose, evaluate the ruler, change governments without coups and without bloodshed," ia tidak seharusnya diterima tanpa persoalan. Ada konflik yang perlu dijelaskan.

11. Dakwah adalah aktiviti yang melibatkan masa. Kemana masa diutamakan, disitulah tumpuan minda dan tenaga dikerahkan, begitulah juga kerapatan kepada keimanan dan ketakwaan.