Monday, June 08, 2009

USJ ROAR FC - Projek Komuniti







Ahad lepas (Mei 7, 2009) saya telah dijemput oleh kawan saya untuk turut sama membantu sekumpulan pelajar dalam satu program motivasi di Trolak Country Resort.

Pelajar-pelajar ini merupakan sepasukan bolasepak yang telah ditubuhkan atas inisiatif para ibubapa mereka, dan telah bersama sejak tiga tahun lalu. Sejarah mereka telah bermula lebih awal, sekitar tujuh tahun yang lampau bila mereka sama-sama terlibat dalam satu pertandingan bolasepak. Sebagai pasukan bolasepak, mereka pastinya telah melalui beberapa perlawanan yang menyaksikan kemampuan mereka menandingi pasukan-pasukan yang sepatutnya lebih established. Termasuk, berita terakhir yang saya dapat tahu, mereka akan berlawan dengan pasukan bawah 20 negeri Pahang.

Perkara yang menarik perhatian saya ialah kesungguhan para ibubapa ini yang sanggup membantu menjayakan minat anak-anak mereka. Kesemua mereka ini akan menghadapi peperiksaan SPM pada akhir tahun ini. Program yang diaturkan di Trolak adalah untuk membantu mereka terus bersama walau selepas SPM nanti, dan bukan program akademik atau kemahiran belajar.

Turut sama membantu mereka ialah penyanyi Zainal Abidin yang disamping menghiburkan dengan nyanyian, belaiu berkongsi pengalaman pahit manis beliau sewaktu kecil dan bagaimana beliau berusaha sehingga boleh berjaya. Perkara yang paling menarik bagi saya dalam ucapan Zainal Abidin ialah bila beliau berkata "jika kamu mahukan kebebasan, kamu kena kontrol hidup kamu". Pada awalnya saya tidak beri perhatian kepada kata-kata itu, tetapi bila beliau ulangkan semula, frasa itu menangkap minda saya. Benar, jika kita mahukan kebebasan, kita terlebih dahulu perlu mengawal diri kita. Jika kita tidak kawal diri kita, kita mungkin melakukan sesuatu yang menyebabkan kita ditangkap atau sebagainya, dan akan menyebabkan kita tidak bebas lagi. Satu falsafah hidup yang baru pertama kali saya dengar. Saya setuju dengan Zainal Abidin.